BERDUSTA ialah perbuatan di mana seseorang itu sengaja mahu memberi gambaran yang salah kepada orang yang didustai. Dusta mungkin dilakukan secara tersurat mahu pun tersirat. Biasanya dusta dilakukan dengan menggunakan kata-kata yang jelas berniat memberi gambaran salah.
Manusia berdusta kerana bermacam-macam alasan. Walau bagaimanapun, menurut pakar-pakar psikologi, ada empat jenis dorongan yang menyebabkan kita sanggup berdusta:
(1) Mendapatkan keperluan asas:
Kita berdusta kerana hendak mendapatkan benda-benda material yang penting kepada kita. Kita juga berdusta supaya kita tidak kehilangan benda-benda itu. Wang dan harta benda termasuk di dalam kategori ini. Sebagai contoh, seorang isteri meminta wang tambahan dengan berdusta kepada suaminya bahawa wang belanja bulanan sudah habis padahal belum, kerana dia mahu menggunakan wang itu untuk membeli beg tangan baru. Seorang suami merahsiakan bahawa, selain gajinya dia juga mempunyai sumber-sumber pendapatan lain kerana dia takut wang itu akan diminta oleh isterinya atau isterinya akan mempersoalkan apa yang dia hendak buat dengan wangnya itu.
(2) Estim-diri:
Ada kalanya kita berdusta kerana hendak menjaga estim-diri atau maruah kita. Sebagai contoh, kita tidak mahu orang lain tahu bahawa kita mempunyai sifat-sifat buruk. Ada kalanya kita juga berdusta untuk menaikkan estim-diri kita di mata orang yang kita dustai. Sebagai contoh, kita berdusta dengan mengatakan kita seorang setiausaha, padahal kita cuma seorang kerani. Ada kalanya, kita mungkin berdusta kerana hendak menunjukkan gambaran seolah-olah kita adalah seorang yang berkebolehan atau berkedudukan baik. Sebagai contoh, kita membeli kereta besar walaupun kita tak berapa mampu kerana kita hendak memberi gambaran kita datang daripada kelas sosial yang tinggi, dan kita layak diterima sebagai rakan pergaulan oleh mereka yang menganggotai kelas itu.
(3) Perhubungan:
Kadangkala kita berdusta kerana hendak menjaga hubungan baik yang ada. Ramai suami berdusta kepada isteri kerana hendak mengelakkan krisis rumahtangga. Ada pula masanya kita berdusta untuk menamatkan hubungan yang tidak kita ingini. Sebagai contoh seorang suami berdusta supaya isterinya tidak suka lagi kepadanya, supaya dengan itu dia dapat membuka jalan perpisahan. Ada pula masanya kita berdusta kerana tidak mahu memenuhi kehendak atau permintaan orang itu. Ramai suami berdusta kerana tidak mahu melayan permintaan isteri. Sebagai contoh, isteri meminta set meja makan baru dan sami berdusta mengatakan dia tidak ada wang. Ramai pula isteri berdusta untuk memutar-belit suami supaya mahu menuruti kehendak mereka. Kadang-kadang kita juga berdusta kerana hendak mengawal perjalanan sesuatu perbualan. Sebagai contoh, suami berdusta kepada isteri kerana tidak mahu isterinya bertanya tentang hal-hal yang disorokkan, ataupun supaya perbualan itu menuju arah yang dia mahu sahaja.
(4) Kepuasan diri:
Sekali-sekala kita berdusta kerana hendak memuaskan diri sendiri. Sebagai contoh, kita berdusta kerana hendak berseronok-seronok dengan cara melawak dan bergurau senda, atau kerana hendak melebih-lebihkan cerita kita. Kajian-kajian yang pernah dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati kebanyakan orang berdusta untuk kepentingan mereka sendiri. Di dalam suatu kajian, daripada 322 pendustaan, 75.8 peratus menguntungkan si pendusta, 21.7 peratus menguntungkan orang yang didustai dan 2.5 peratus menguntungkan orang lain.
Di dalam Islam, kita dibenarkan berdusta hanya untuk tiga tujuan. Pertama untuk menyelamatkan orang yang tidak bersalah daripada dianiaya. Kedua untuk mendamaikan dua orang yang bermusuhan. Ketiga untuk menjaga hubungan baik antara isteri-isteri.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a, dari Nabi saw. bersabda, "Hendaklah kalian bersikap jujur karena kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan dapat mengantarkan ke surga. Sesungguhnya seseorang senantiasa jujur sehingga ditulis sebaga seorang yang jujur. Dan sesungguhnya dusta dapat menyeret kepada kejahatan dan kejahatan dapat menyeret ke dalam neraka. Sesungguhnya seseorang senantiasa berdusta hingga ditulis di sisi Allah sebagai pendusta," (HR Bukhari [6094]).
Memang cantik berkain batik,
mari dipakai nyonya melaka
kalau ingin dipandang cantik,
jangan suka berkata dusta
renung-renungkan...selamat bermuhasabah...
No comments:
Post a Comment